Isnin, 25 Mei 2015

BAGAIMANA MELAKA MENDAPAT NAMA

 MELAKA MENDAPAT NAMA

Al-Kisah negeri Melaka mendapat nama...


Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dariSiam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.

Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.


Diantara pedagang yang datang ke Melaka pada ketika itu...


Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.

Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.

Ahad, 24 Mei 2015

ZAMAN PALEOLITIK DAN CIRI-CIRINYA

Pengenalan
Zaman Paleolitik juga dikenali sebagai Zaman Batu Lama. Zaman ini berlangsung dari 50,000 SM hingga 10,000 SM. Manusia Peking dan manusia Jawa wujud pada zaman ini. Menjelang 50,000 SM, orang Neanderthal mula hidup di Eropah, Asia dan Afrika. Selepas itu, menjelang tahun 20,000 SM, orang Cro-Magnon tinggal di Eropah dan mengasaskan kebudayaan moden di Eropah dan Afrika Utara. Orang pada zaman ini melukis gambar-gambar di dinding gua untuk melahirkan perasaan dan idea-idea mereka.



Tempat Tinggal
Orang Paleolitik sudah mula belajar untuk mengadakan tempat tinggal. Mereka tinggal di dalam gua-gua atau berlindung di bawah ranting-ranting yang ditutup dengan rumput-rampai dan di dalam lubang-lubang di bawah tanah. Mereka tinggal di kawasan ini kerana ingin melindungi diri daripada serangan musuh atau binatang liar dan tiupan angin dan sebagainya. Tempat ini telah dijadikan sebagai tempat rehat bagi mereka yang telah penat selepas melakukan aktiviti harian seperti memburu. Sebagai contoh, Gua Niah di Sarawak dan Gua Badak di Perak.

Cara Hidup
Orang Paleolitik hidup secara nomad, iaitu berpindah-randah dalam kelompok kecil. faktor utama yang mendorong mereka hidup secara nomad adalah disebabkan oleh faktor bekalan makanan. Sudahpun diketahui oleh kita semua, manusia zaman ini tidak tahu menternak binatang dan menanam tanaman, mereka mendapatkan bekalan makanan secara memburu dan sebagainya. Apabila sumber makanan di suatu tempat didapati berkurangan atau habis, mereka akan pindah ke tempat lain yang dapat membekalkan makanan yang diperlukan. Maka, tempat kediaman mereka juga tidak tetap.

Kegiatan Seharian
Aktiviti yang dijalankan oleh orang Paleolitik setiap hari ialah memburu, menangkap ikan, memungut hasil hutan dan sebagainya. Semua aktiviti yang dijalankan kebanyakannya berkaita dengan mencari bekalan makanan harian. Pada zaman ini, mereka tidak mempunyai apa-apa hiburan. Selepas memburu, mereka akan berehat, makan kemudian tidur, tiada perkara lain yang akan dilakukan. Binatang yang biasa dicuru adalah seperti harimau, rusa dan sebagainya. Hasil hutan yang dikutip pula adalah seperti sayuran liar, buah-buahan dan sebagainya.

Peralatan
Peralatan yang digunakan oleh orang Paleolitik dibuat daripada kayu, batu dan tulang. Bentuk peralatannya tidak berapa kemas. Bentuknya boleh dikatakan kasar. Peralatan ini digunakan untuk memburu, menumbuk, menetak, memotong dan mempertahankan diri daripada musuh dan binatang liar. Sebagai contoh, kapak dibuat daripada seketul batu berbentuk bujur yang hujungnya ditajamkan dan tanduk rusa dijadikan sebagai cangkul untuk meluaskan gua-gua tempat tinggal mereka.

Kepercayaan
Orang Paleolitik mempunyai kepercayaan animisme, iaitu percaya bahawa semua benda di dunia ini mempunyai roh. Mereka percaya bahawa unsur alam semesta telah mempengaruhi setiap aspek kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, mereka memuja unsur alam semesta untuk mendapatkan hasil tanaman yang banyak. Unsur alam semesta yang dipuja termasuk bulan, matahari dan sebagainya.

Pakaian
Orang Paleolitik sudahpun tahu berpakaian. Pakaian mereka dibuat daripada kulit binatang, contohnya kulit rusa, harimau, beruang dan sebagainya. Semasa rusa berhijrah ke Selatan, mereka telah menangkap rusa tersebut. Daging rusa telah dijadikan sebgai makanan dan kulitnya digunakan untuk dijadikan pakaian. Kulit ini kemudiannya disambung dengan tali kulit.

Penggunaan Api
Orang Paleolitik tahu menggunakan api untuk memanaskan badan, menakutkan binatang liar dan memasak daging. Mereka mendapat pengetahuan penggunaan api daripada fenomena kebakaran hutan yang dihasilkan akibat pokok-pokok disambar kilat. Pada permulaan, mereka tidak tahu membuat api. Lama-kelamaan, mereka mengetahui bahawa api boleh dihasilkan dengan kaedah geseran batu. Selain itu, ada kemungkinan juga api dihasilkan secara tidak langsung, iaitu hasil daripada usaha seseorang yang bersungguh-sungguh memperbaiki alat kayunya sehingga keluar bunga api disebabkan panas. Di Australia, api dihasilkan dengan mengumpulkan daun-daun dan lumut-lumut ke dalam sebatang kayu yang berlubang dan kemudiannya pusing sebatang kayu tajam ke atasnya sehingga ia terbakar.




SEJARAH DAN KEPENTINGAN DARI SUDUT PSIKOLOGI DAN FALSAFAH MANUSIA

Orang-orang Barat dan sekular sangat menyanjung sejarah, sehingga ada yang menganggapnya sebagai falsafah dan agama. Dari sudut ini misalnya, sejarah iu diperlukan demi memenuhi tuntutan dan kehendak emosi yang mendalam sehingga E.H. Carr berani mengatakan, “bagi orang-orang berfahaman sekular khasnya, ataupun bagi manusia moden, bahawa sejarah itu pada masa telah mengambil alih fungsi yang pada waktu ketika dahulu dilakukan oleh agama dalam kehidupan mereka”. Tetapi, ini tidak dapat diterima oleh orang yang beragama Islam, kerana agama Islam tidak terpisah dengan kehidupan penganutnya, sedang orang sekular itu bukan sahaja memisahkan dirinya dengan agama, bahkan keyakinan terhadap Tuhannya sudah musnah, dan hanya bergantung pada nilai-nilai murni yang boleh berubah-ubah mengikut akal fikiran mereka sendiri.

Kemudian, kita lihat sendiri tentang takrif sejarah iaitu, satu kumpulan masa lalu dan ilmu pengetahuan yang menerangkan tentang keadaan yang sedang berlaku. Sejarah bila dihayati, sama ada tentang diri, keluarga, masyarakat, dan negara serta dunia, akan menyebabkan kita sedar akan perkembangan diri dan persekitaran, serta kesan pergerakan dunia keatas kita. Orang barat juga menganggap sejarah sebagai suatu ilmu yang tidak boleh dikaitkan dengan kegunaannya, seperti ilmu sains gunaan.

Maksudnya, pengkajian sejarah itu hanyalah untuk mencari atau mewujudkan kebenaran tanpa mempunyai motif yang lain, contohnya kepentingan sesutau pihak. Namun, ada juga dari kalangan orang barat sendiri yang menganggap ilmu sejarah itu sebagai omong kosong belaka, kerana bagi mereka peristiwa didalam sejarah itu boleh disalahgunakan dan menmbulkan bahaya didalam situasi politik dan struktur masyarakat. Asas anggapan mereka itu boleh diterima, kerana sudah terdapat banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah itu telah disalahgunakan, selewengkan dan dipalsukan, untuk mencapai tujuan tertentu bagi golongan yang berkepentingan tertentu.

Akhirnya, dapat kita sedari bahawa sejarah bukan sahaja menyedarkan, menerang dan mengajar sahaja tetapi ia adalah sesuatu yang sedang bergerak bersama-sama kita, dan pelengkapnya, kita juga adalah manusia bersejarah dan bahan sejarah. Seterusnya, kita memasuki bahagian mengenai kepentingan sejarah dan kaitannya dengan sesebuah negara. Sesebuah negara memerlukan sejarah untuk melaksana, melengkap dan melancarkan lagi kegiatannya. Ini kerana, Herodotus (Bapa Sejarah Dunia), mengatakan bahawa terdapat pengulangan atau kitaran, diantara sejarah semua tamadun dan negara secara berganti-ganti, umpama roda. Setiap tamadun mempunyai persamaan dari segi kelahiran dan kewujudan, lalu melalui perkembangan dan zaman kemuncak kejayaan, yang akhirnya membawa kepada keruntuhan tamadun dan negara itu.

Peristiwa yang berlaku berzaman-zaman dahulu, akan berlaku lagi pada zaman atau generasi seterusnya, walaupun peristiwa yang berlaku adalah berbeza tetapi tahap-tahap perkembangan diantara tamadun adalah sama. Ini dapat dijadikan sebagai petunjuk, dan pengajaran serta iktibar bagi generasi seterusnya dalam memacu negara kearah yang lebih gemilang. Oleh itu, manusia perlulah belajar tentang sesuatu peristiwa dengan merujuk sejarah agar mendapat pengajaran. Ini kerana pertalian antara masa lalu dan kini adalah sangat jelas. Masa kini adalah hasil atau kesan dari gejala sama ada dari segi sains, ekonomi mahupun politik, yang akhirnya akan menjadi sebahagian dari sejarah negara itu. Jadi, tidak dapat tidak, ahli ekonomi dan politik negara itu tidak akan dapat melihat, selain sejarah sebagai sumber rujukan yang sangat berguna, untuk mencerminkan keadaan masa lalu, kini dan masa depan. Ketiga-tiga elemen itu tidak akan terpisah dan mencerminkan antara satu sama lain.

Namun, tidak mustahil ia terpisah disebabkan revolusi dan pemberontakan, yang bertujuan untuk menyingkirkan sistem negara itu dan berbeza dari yang lalu, atau dengan kata lain, ingin mengubah sejarah negaranya. Tidak mustahil juga pemberontakan itu berlaku untuk menegakkan sistem yang lama, setelah sekian lama diseleweng oleh golongan tertentu. Berbagai pemberontakan dan revolusi telah berlaku didunia ini, Revolusi Perancis 1789, Revolusi Rusia 1917 dan Revolusi Iran 1980-an. Mereka memberontak untuk menegakkan apa yang dipandang sebagai adil dan sesuai bagi mereka. Sampai suatu masa, ada revolusi

yang diperjuangkan dahulu hancur disebabkan ketidaksesuaian dengan rakyat, dan ada pula yang diterima hingga muncul sistem yang lain, yang dipercayai mampu menyelamat dan membahagiakan manusia. Jadi perhubungan diantara masa-masa itu, mampu membawa manfaat dengan menjadikan masa kini adalah merujuk kepada masa lalu, untuk kepentingan masa depan. Sejarah juga amat penting didalam proses memilih kepimpinan, dimana sejarah sesebuah organisasi, dan sejarah kehidupan para pemimpinnya, serta sejarah kemampuan mereka membangun, mendidik, dan berkhidmat kepada masyarakat, dijadikan sandaran didalam membuat pemilihan pemimpin, demi memastikan negara selamat dan terpeliharadibawah naungan mereka.

Oleh itu, dalam ayat yang lain, sejarah adalah jalan yang menjadi landasan dalam memeilih pemimpin yang jujur, berani, adil dan berkebolehan memimpin. Betapa besarnya peranan sejarah itu dalam sesebuah negara dan masyarakat, tetapi ramai yang tidak sedar. Ini kerana, pemimpin memaimkan peranan penting dalam memacu negara dan rakyat, agar tidak membawa negara kearah kehancuran dan kebinasaan negara itu. Contoh yang dapat dilihat ialah, negara Jerman dan pemimpinnya, Hitler yang membawa negara dan rakyat itu kearah perang dan kemusnahan yang memberi kesan sehingga hari ini.

Kesalahan meletakkan pemimpin yang betul dan waras akan mengelakkan berlakunya berbagai bagai perkara yang tidak sepatutnya terjadi dari berlaku, seperti kepimpinan Jepun yang mengikut emosi tanpa pertimbangan, hingga negara itu diheret kepada perang dan mengakibatkan dua bandar utamanya hancur sama sekali. Demikianlah betapa berperanannya sejarah yang mempunyai berbagai kegunaan dan manfaat terhadap sesebuah negara dan bangsa, termasuk individu itu sendiri.

Memang benarlah sejarah sebagai ilmu masa silam yang amat penting, kerana kesejahteraan mampu lahir hasil manusia menjadikannya sebagai teladan dan sempadan bagi individu, bangsa dan negara serta agama tercinta.




Konsep Sentrik


Sentrik merupakan satu unsur yang  muncul dalam bentuk pendekatan yang digunakan dalam penulisan sejarah. Sebagai contoh, ada penulisan yang boleh dikatakan sebagai bersentrikkan aspek bidang seperti ekonomi, perundangan dan politik. Selain itu, terdapat juga penulisan yang bersentrikkan negera atau kaum seperti sentrik, Malaysia sentrik, Indonesia sentrik dan sebagainya. Apabila berbicara tentang sentrik yang melibatkan aspek penulisan sejarah sesebuah Negara, penulisan yang berunsurkan sentrik barat tidak ketinggalan. Di Negara-negara yang pernah di jajah oleh kuasa daripada Eropah misalnya Belanda, Enggeris, Perancis dan sebagainya sentrik barat merupakan agenda daripada barat yang perlu di lalui oleh orang tempatan.

Sentrik barat lebih mengutamakan seseorang tokoh atau segala kepentingan pihak barat. Kemunculan sesuatu pendekatan tidak kira samada pendekatan sentrik barat atau sentrik tempatan disebabkan oleh beberapa faktor. Jika dikaji, dapatlah dikatakan bahawa  faktor yang telah menimbulkan perbahasan mengenai penulisan semula sejarah tempatan adalah akibat perbezaan pendekatan yang digunakan, iaitu semangat nasionalisme terhadap negara sendiri dan kesediaan bahan rujukan mengenai sejarah sesebuah negara.

Oleh kerana kebanyakkan penulis sejarah negara yang pernah dijajah oleh barat contohnya Malaysia adalah terdiri daripada para penulis Barat, maka wajarlah jika difikirkan bahawa golongan ini adalah terpengaruh oleh persekitaran atau pendidikan barat dan tidak dapat lari dari mempunyai perasaan bangga terhadap peradaban mereka. Menurut Prof. Zainal Abidin Wahid, oleh kerana mereka adalah orang barat, mereka telah dididik dan dibesarkan oleh tradisi, budaya, nilai dan norma-norma barat dan pekara tersebut telah sebati dengan jiwa dan kehidupan mereka. Warisan kebudayaan inilah yang telah menghalang mereka daripada menaruh penghargaan terhadap sejarah Malaysia.

Walaupun banyak penulis tempatan yang menulis mengenai sejarah negara mereka sendiri, namun kebanyakkan mereka turut dipengaruhi oleh pengaruh barat kerana teknik, tema dan metodologi penulisan sejarah yang di gunakan oleh penulis tempatan adalah diperolehi dari ilmu dan para ilmuan barat.

Selain itu, kita harus mengakui bahawa penulisan sejarah tempatan secara keseluruhan sebenarnya masih belum pernah wujud dalam erti kata yang sebenarnya. Apa yang dimaksudkan di sini ialah penulisan sejarah tempatan adalah bersifat topikal iaitu hanya menyentuh sesuatu tempoh atau sesuatu kawasan tertentu sahaja. Perkara ini di pengaruhi juga oleh faktor kesediaan sumber rujukan. Di mana, data-data dan rekod mengenai aktiviti barat boleh diistilahkan sebagai berlambak dan mudah di perolehi untuk dijadikan sebagai bahan rujukan berbanding sumber tempatan yang terhad dan dianggap lekeh dari segi nilai sejarahnya. 

Di antara satu contoh penulisan Sejarah Malaysia yang bersifat sentrik barat ini ialah British Malaya yang ditulis oleh Sir Frank Swettenham. Berbanding dengan sejarah tradisional yang mementingkan keharmonian dan pelajaran kepada masyarakat, penulisan sejarah moden muncul akibat perkembangan rasional dan objektif menurut pemikiran seseorang sejarawan. Sikap kritis yang wujud ini telah menyebabkan timbulnya keinginan untuk menulis atau  mencatatkan sesuatu perkara atau peristiwa berdasarkan kepada apa yang sebenarnya berlaku dengan menggunakan sumber sejarah yang sahih untuk menjamin ketepatan tulisan yang akan ditulis.

Penulisan pada peringkat pra-perang dunia kedua muncul akibat kedatangan barat untuk meluaskan kawasan tanah jajahan adalah bertujuan untuk melicinkan serta memudahkan segala urusan pentadbiran barat serta untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin kedudukan mereka sebagai penjajah di Tanah Melayu. Penulisan pada peringkat pasca perang dunia kedua pula telah membentuk satu perubahan besar dalam penulisan sejarah tempatan. Perkembangan  politik dan nasionalisme pada ketika itu telah menyebabkan sejarawan di Asia Tenggara meluaskan lapangan pemikiran mereka kepada teknik-teknik penulisan barat dan maju dalam penulisan sejarah berbentuk moden.

Jika dilihat, konsep penulisan sejarah yang berunsurkan sentrik barat banyak memaparkan mengenai sumbangan positif pihak barat kepada masyarakat di negara yang pernah dijajah. Penulisan yang  menggunakan falsafah dan prinsip-prinsip barat ini sering sahaja merendahkan ketepatan sejarah tradisional. Barat sentrik lebih menumpukan terhadap penulisan mengenai politik dan ekonomi sesebuah negeri yang mengagung-agungkan barat sebagai penjajah.

Walaupun terdapat juga sejarawan barat yang menyeru agar bahan-bahan tempatan digunakan dalam penulisan, tapi ia menjadi perbahasan dikalangan sejarawan yang ingin menulis mengenai sejarah tempatan. Salah seorang penulis sejarah yang menggunakan pendekatan sentrik barat ialah Sir Frank Swethenham melalui karyanya yang berjudul British Malaya (1906). Judul buku tersebut sudah memberi gambaran tentang isi kandungan, idea utama atau temanya yang sudah pasti tidak lari dari menghuraikan peranan dan kejayaan pihak imperialis British di Tanah Melayu. Mereka sebenarnya cuba mendakyahkan kepada rakyat tentang kekuatan dan kehebatan sistem penjajahan.

Penulisan sentrik barat juga berdasarkan kepada sumber mengenai aktiviti-aktiviti pihak barat yang mudah diperolehi sebagai rujukan. la juga bersifat topikal iaitu menyentuh tempat atau kawasan-kawasan tertentu yang berkepentingan kepada kerajaan kolonial. Ketika penjajahan British di Tanah Melayu, kebanyakkan hasil tulisan adalah berbentuk laporan rasmi atau penulisan yang mempunyai tujuan rasmi. Teks sejarah yang terhasil biasanya terlalu bias kepada pihak kerajaan iaitu pihak British. Sebagai buktinya segala peristiwa-peristiwa perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh tempatan pada zaman itu di gelar sebagai penderhaka atau pemberontak. Misalnya pemberontakan Tok Janggut di Kelantan.




MULTI- DISIPLIN DALAM ARKEOLOGI

Analisis Biokimia
Apabila alat batu digunakan untuk menetak pokok atau memotong daging, ia akan meninggalkan kesan guna yang tertentu. Kadang- kadang terdapat kesan lemak, darah dan sisa organic yang tertinggal pada alat batu tersebut. Kesan ini dapat dilihat dengan menggunakan mikroskop. Cara ini dapat memberi gambaran tentang fungsi sesuatu alat itu. 
            Analisis biokimia terhadap mendapan seperti darah dapat membekalkan maklumat bagi bidang arkeologi. Sebagai contoh, di tanah subartik berasid di Kanada Barat, mendapan darah yang dijumpai pada alat batu telah mendedahkan bahawa kambing bebiri gunung dan karibu telah dibunuh dan di makan oleh manusia prasejarah. Selain itu, kesan tisu, darah dan bulu bison Amerika Selatan juga dijumpai pada permukaan alat batu. Ia merupakan penemuan yang tidak terduga kerana bison tidak terdapat di rantau ini dan tidak dianggap salah satu jenis binatang yang dimakan oleh manusia prasejarah di kawasan tersebut.
           
Disiplin Kimia
W. F. Libby telah memperkenalkan satu kaedah untuk menentukan usia mutlak bahan- bahan organic purba dan tidak bertarikh dengan penemuan pentarikhan radiocarbon.. Sejak itu, kaedah ini menjadi salah satu teknik yang digunakan paling meluas untuk mendapatkan pentarikhan kronometrik (mutlak) bagi tapak arkeologi dan artifak. Penemuan kaedah- kaedah lain seterusnya yang juga menggunakan pengukuran susutan radioaktif telah memberi sumbangan yang banyak terhadap pentarikhan arkeologi.
            Di Malaysia, beberapa teknik pentarikhan kronometrik telah digunakan. Ini termasuk pentarikhan radiocarbon (C14), spektrometri jisim pencepat (AMS), termo pendar kilau (TL), pandar kilau rangsangan optic (OSL), resonans spin electron (ESR), argon potassium (K-Ar) dan kesan belahan. Setiap teknik ini ini hanya berupaya memberikan pentarikhan pada masa tertentu sahaja. Sebagai contoh, pentarikhan K-Ar boleh digunakan bagi tempoh 100,000 hingga 3 juta tahun dahulu; OSL digunakan untuk pentarikhan tapak dari 50,000 hingga  1 juta tahun dahulu; sementara C14 paling sesuai untuk 1,000 hingga 40,000 tahun dahulu. Kaedah yang digunakan bergantung pada anggaran tarikh oleh ahli arkeologi berdasarkan ekskavasinya. Jika sesuatu tapak itu dianggarkan antara 20,000 hingga 30,000 tahun dahulu, maka teknik pentarikhan C14 menjadi pilihan terbaik jika terdapat sample yang diperlukan seperti arang kayu atau cengkerang. Jika tiada sample, maka pentarikhan relative akan digunakan yang bertindak atas prinsip menyusun artifak dalam urutan tipologi (dari yang muda kepada yang paling tua).


Disiplin Paleontologi
Paleontologi adalah bidang yang mengkaji tentang fosil haiwan, tumbuhan dan bentuk- bentuk hidupan purbakala. Hasil daripada kajian tersebut kita dapat mempelajari tentang taburan tumbuh- tumbuhan dan haiwan pada masa silam.
            Melalui kaedah paleontology ini dapat mengesan migrasi besar- besaran binatang purba akibat perubahan iklim setempat. Jika tumbuh- tumbuhan dan binatang- binatang tidak dapat hidup lagi di sesuatu kawasan kerana perubahan iklim dan ini terjadi di tapak- tapak arkeologi maka seorang ahli arkeologi dapat membuat keimpulan bahawa iklimnya adalah berbeza semasa tapak itu diduduki.
            Kaedah yang paling tepat adalah pentarikhan “gelangan pokok” yang memberikan tarikh mutlak. Tarikh- tarikh ini adalah sangat tepat dan digunakan masa kini untuk memeriksa pentarikhan radiocarbon. Ini bergantung kepada fakta bahawa di bawah keadaan persekitaran yang sesuai pokok- pokok akan menambah satu gelangan setiap tahun.
            Kajian tulang di tapak- tapak arkeologi juga dapat memberi asas kepada kronologi. Perubahan iklim boleh menyebabkan migrasi atau penghapusan dan membawa binatang- binatang dan tumbuh- tumbuhan yang berbeza ke kawasan tersebut. Dengan mengambil kira kedua- dua faktor ini kita dapat menggunkan paleontology untuk menentukan tarikh relative. Dengan itu, jika terdapat spesis Elephas antiques (gajah hutan) kita boleh mengandaikan wujudnya iklim sederhana di kawasan itu, manakala E. primigenus (gajah padang rumput Steppe) menunjukkan persekitaran steppe atau tundra dengan keadaan glacial.



Disiplin Fizik
Disiplin fizik turut berperanan dalam pengkajian arkeologi. Hasil jumpaan arkeologi yang tertanam mempunyai perbezaan daripada segi kadar radioaktif dalam bentuk aktiviti beta dan alfa. Perbezaan kadar radioaktif ditentukan dengan menggunakan alat khas iaitu jangka aliran berkadaran. Melalui penggunaan alat ini korelari antara radioaktif persekitaran tanah matrik dan jumpaan arkeologi dapat ditentukan.
            Pentarikhan magnetic (paleomagnetik) juga dapat memberikan tarikh mutlak dengan ketepatan beberapa dekad. Kaedah ini bergantung kepada perubahan dalam medan magnet bumi. Perubahan sudut curam antara utara magnet dan utara yang sebenarnya dan perubahan angle of dip bagi jarum magnet telah direkod bagi 400 tahun di London dan bagi masa- masa yang lebih pendek di bandaraya- bandaraya lain. Kajian telah menunjukkan bahawa sudut sendeng dan sudut dip adalah terperangkap dalam tanah liat terbakar dan dalam pelbagai jenis sediment dalam dasar tasik. Dalam tanah liat biasa, medan magnet bagi bijirin magnetit dan hematite berlaku secara rawak. Apabila tanah liat dibakar, bijirin- bijirin disamakan dengan medan magnet bumi yang berada disekitarnya. Apabila sejuk, kesamaan bijirin- bijirin ini dibekukan dan dapat direkod selagi tanah liat dipelihara dengan baik. Kesamaan yang tetap bagi bijiri- bijirin ini dikenali sebagai kemagnetan baki- haba. Dari segi praktis, kaedah ini terhad disebabkan rekod- rekod yang tidak mencukupi.

Disiplin Antropologi
Antropologi merupakan satu bidang kajian yang cuba mengkaji manusia daripada pelbagai aspek iaitu fizikal, budaya, sosial, linguistic dan sejarah  Menurut Edward Taylor, ‘budaya’ dapat dirumuskan sebagai pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang- undang dan adat.
            Disiplin antropologi dibahagikan kepada tiga bahagian. Antropologi budaya tertumpu kepada mengkaji kepelbagaian sosio-budaya. Antropologi linguistic mengkaji bahasa, manakala antropologi biologi mengkaji evolusi manusia. Ahli- ahli antropologi akan mengkaji perkaitan artifak- artifak yang dijumpai dengan sistem kebudayaan, sosial, kepercayaan dan sebagainya. Sebagai contoh, penemuan bengkel alat batu di Kota Tampan telah membongkar rahsia teknologi batu awal. Banyak penemuan kini menunjukkan bahawa petempatan manusia awal yang hidup sebagai pemburu 200,000 tahun dahulu di Hulu Perak. Kenyataan ini berdasarkan penemuan- penemuan alat- alat batu yang berfungsi sebagai alat untuk memburu.
            Antropologi mengkaji kebudayaan manusia dan proses evolusinya. Antropologi mengkaji cara masyarakat awal berkembang dan tamadun terbentuk dalam proses yang kompleks, dinamik dan berubah- ubah serta dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk persekitaran, hubungan dengan yang lain, pertambahan populasi dan keperluan yang berubah.

Disiplin Palinologi
Analisis debunga (palinologi) telah dikembangkan oleh seorang ahli botani berbangsa Sweeden iaitu Lennar Von Post pada tahun 1916 yang berminat dengan pokok- pokok hutan. Teknik ini seterusnya dikembangkan kepada kaedah yang diperhalusi untuk mengenal pasti Quaternary dan perubahan- perubahan iklim serta kronologi selepas zaman pleistosen.
            Analisis yang tepat bergantung kepada sama ada tumbuhan menaburkan debunganya dengan meluas dan sama ada ia terpelihara dengan baik atau tidak. Analisis debunga adalah satu kerja yang sukar dan rumit berdasarkan pengenalan mikroskopik debunga daripada tumbuh- tumbuhan moden. Apabila bijirin moden ini telah dikenal pasti, sejumlah bijirin boleh diambil daripada sample timbunan arkeologi dan dikira bilangan tiap- tiap sepsis daripada tumbuhan- tumbuhan. Dengan memplotkan frekuensi relative sepsis- sepsis yang pelbagai melalui suatu tempoh masa, maka penganalisis dapat membuat suatu rajah debunga yang menunjukkan perubahan tumbuhan- tumbuhan bagi kawasan yang terlibat.
            Analisis debunga sangat berguna bagi pentarikhan relative dan mutlak. Walaupun sejarah iklim- flora disesuatu kawasan hanya dapat digariskan secara kasar, namun kita boleh mengenal pasti debunga dari zaman antara glasier panas atau glasier sejuk tanpa menentukan tarikh. Jika kronologi dapat diwujudkan dengan lebih mendalam, sesorang dapat menentukan profil debunga dari segi beratus- ratus tahun untuk memberi kronologi mutlak secara kasar.
            Pentarikhan tapak melalui penggunaan debunga selalunya memerlukan suatu strata urutan yang panjang untuk membolehkan kita mengesan perubahan yang berlaku. Strata ini harus diberkan tarikh supaya usia debunga dapat diberikan pentarikhan. Walau bagaimanapun, ahli palinologi menghadapi masalah berhubung dengan debunga dari kawasan kering kerana mendapan organic tidak dapat ditarikhkan oleh radiocarbon.

Disiplin Geologi
Disiplin geologi amat penting dalam penentuan umur jumpaan arkeologi. oleh sebab manusia tinggal di permukaan bumi maka tidak hairanlah jika tulang- tulang mereka dan bukti- bukti kehadirannya ditemui di atas permukaan. Permukaan bumi sentiasa berubah hasil daripada hakisan, penimbunan dan pelbagai proses lain yang dinamakan geologi. Proses yang sama juga tertakluk pada fakta bahawa barangan yang dahulunya terdapat di permukaan akan tertanam manakala barangan yang tertanam akan didedahkan semula.
Analisis nilai merupakan teknik geokronologi. Nilai terdiri daripada dua lapisan. Mendapan kasar terletak di bahagian bawah dan mendapan halus di bahagian atas. Mendapan halus mendap pada musim dingin apabila tasik itu beku dan bahan yang lebih kasar dimendapkan pada musim panas apabila cuaca lebih panas dan kadar pencairan lebih tinggi.
       
Disiplin Sejarah
Dalam arkeologi memerlukan sejarah. Sejarah adalah fakta yang bertulis. Semasa melakukan pengkajian arkeologi kaedah sejarah turut digunakan. Fakta sejarah yang sedia ada akan dijadikan asas kepada kajian.
            Kajian- kajian arkeologi yang lalu yang sudah dianggap sebagai fakta sejarah akan menjadi klu kepada penyelidikan yang baru. Sebagai contoh, ekskavasi Paleolitik  yang dijalankan di Lenggong pada tahun 1987 adalah berdasarkan ekskavasi yang pernah dijalankan di situ pada tahun 1938 dan 1954. Begitu juga dengan ekskavasi yang dijalankan di Lembah Bujang. Fakta- fakta sejarah ini mungkin akan berubah hasil daripada penemuan- penemuan baru.




 dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal. 228-229.


KONSEP ARKEOLOGI

Apakah yang dimaksudkan dengan arkeologi? Sebenarnya arkeologi berasal daripada perkataan Greek iaitu “ arkhaiologia ” yang bermaksud barang-barang purba. Sejarah pengkajian arkeologi ini dikatakan bermula setelah penemuan artifak-artifak wujud di Afrika Timur yang dianggarkan berusia kira-kira 2.5 juta tahun dahulu. Mengikut  Kamus Dewan Edisi ke-4, arkeologi membawa maksud kajian saintifik mengenai sesuatu bentuk kebudayaan atau cara hidup masyarakat prasejarah dan penjelasan tentang kesan-kesan peninggalannya. Amalan hidup masyarakat seperti kegiatan pemburuan, petempatan, teknologi, sistem kepercayaan dan hubungan luar sesama mereka.

Berdasarkan Kamus Arkeologi pula, perkataan arkeologi membawa maksud sebagai aktiviti penyelidikan tentang manusia berdasarkan bahan-bahan peninggalan mereka seperti fosil tulang manusia, tembikar-tembikar purba, alatan-alatan yang diperbuat daripada batu seperti kapak tangan, beliung batu, dan alatan perhiasan, seperti manik- manik yang dibuat daripada kerang-kerangan.

Arkeologi sebenarnya membangkitkan kesedaran tentang gambaran yang mengasyikkan, negara-negara luar, jumpaan-jumpaan yang menarik, misteri masa silam, kemahiran purba, kerja-kerja penyelidikan yang teliti dan publisiti. Banyak lagi gambaran yang akan timbul di fikiran apabila menyebut tentang arkeologi. Secara umumnya, arkeologi adalah satu disiplin membina semula masyarakat silam terutama yang tidak mempunyai rekod-rekod bertulis melalui kajian-kajian rekod arkeologi seperti artifak, ekofak, feature dan data-data konteks yang ditemui di tapak-tapak tertentu. Melalui penemuan-penemuan tersebut, ahli-ahli arkeologi boleh menghuraikan keadaan sesuatu kelompok masyarakat silam dari pelbagai aspek umpamanya aspek pola ekonomi, petempatan, kebudayaan, kronologi menurut ruang masa tertentu iaitu zaman Paleolitik, Neolitik, Zaman Gangsa,Zaman Besi dan lain-lain.

Manakala Gordon Willy mendefinisikan arkeologi sebagai antropologi. Menurut Grahame Clark, disiplin arkeologi adalah sebagai kajian yang bersistematik ke atas bahan-bahan purba bagi membentuk semula sejarah. J.D Leaf pula menyatakan bahawa arkeologi sebagai disiplin sains dan cabang kepada sejarah. Brian M. Fagan menyifatkan arkeologi sebagai satu kajian yang sistematik mengenai tabiat, teknologi dan kebudayaan manusia pada zaman lampau. Menurut Gordon Childe iaitu seorang ahli sejarah arkeologi ada menyatakan bahawa; "Arkeologi sebenarnya mengkaji semua perubahan dalam dunia material yang disebabkan oleh kegiatan manusia serta rekod arkeologi yang terdiri daripada tinggalan hasil tingkah laku manusia silam dan apa sahaja yang mereka lakukan".

 Arkeologi terbahagi kepada beberapa bidang kajian yang tertentu antaranya bidang epigrafi yang mengkaji tinggalan prasasti, inskripsi dan batu bersurat. Filologi mengkaji naskhah-naskhah dan tulisan kuno. Bidang struktur pula mengkaji tinggalan bangunan, bidang petempatan mengkaji pola tempat tinggal sesuatu masyarakat, bidang ikonografi mengkaji seni pahatan, bidang antropologi mengkaji hal- hal kebudayaan, bidang sosiologi mengkaji sejarah masyarakat dan bidang numismatik mengkaji tinggalan matawang.

Bidang arkeologi yang meliputi pelbagai aspek kajian menyebabkan bidang ini banyak menjalankan kegiatan eskavasi mencari dan mengumpul benda-benda dari dalam tanah melalui proses penggalian dengan tujuan untuk mengungkap kehidupan manusia pada zaman silam. Bidang arkeologi juga merupakan satu bidang ilmu yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada bidang-bidang lain. Antara disiplin lain yang membantu penyelidikan arkeologi adalah antropologi, geologi, paleontology, statistic, geomorfologi dan seni halus.

Ahli arkeologi masa kini mengkaji cara masyarakat awal berkembang dan tamadun terbentuk dalam proses yang kompleks, dinamik serta berubah-ubah serta dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk persekitaran, hubungan dengan yang lain, pertambahan populasi dan keperluan yang berubah. Bukti-bukti arkeologi adalah testimoni sejarah yang lebih dipercayai daripada bukti-bukti lisan dan tulisan yang tertakluk kepada ruang dan waktu tertentu.





BAGAIMANA MELAKA MENDAPAT NAMA

Al-Kisah negeri Melaka mendapat nama...


Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dariSiam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.

Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.


Diantara pedagang yang datang ke Melaka pada ketika itu...


Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.

Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.