Konsep Sentrik
Sentrik merupakan satu unsur yang muncul dalam bentuk pendekatan yang digunakan dalam
penulisan sejarah. Sebagai contoh, ada penulisan yang boleh dikatakan sebagai bersentrikkan aspek
bidang seperti ekonomi, perundangan dan politik. Selain itu, terdapat juga penulisan
yang bersentrikkan negera atau kaum seperti sentrik, Malaysia sentrik,
Indonesia sentrik dan sebagainya. Apabila berbicara tentang sentrik yang
melibatkan aspek penulisan sejarah sesebuah Negara, penulisan yang berunsurkan
sentrik barat tidak ketinggalan. Di Negara-negara yang pernah di jajah oleh
kuasa daripada Eropah misalnya Belanda, Enggeris, Perancis dan sebagainya
sentrik barat merupakan agenda daripada barat yang perlu di lalui oleh orang
tempatan.
Sentrik barat lebih mengutamakan seseorang tokoh
atau segala kepentingan pihak barat. Kemunculan sesuatu pendekatan tidak kira
samada pendekatan sentrik barat atau sentrik tempatan disebabkan oleh beberapa
faktor. Jika dikaji, dapatlah dikatakan bahawa
faktor yang telah menimbulkan perbahasan mengenai penulisan semula
sejarah tempatan adalah akibat perbezaan pendekatan yang digunakan, iaitu semangat
nasionalisme terhadap negara sendiri dan kesediaan bahan rujukan mengenai
sejarah sesebuah negara.
Oleh kerana kebanyakkan penulis sejarah negara yang
pernah dijajah oleh barat contohnya Malaysia adalah terdiri daripada para
penulis Barat, maka wajarlah jika difikirkan bahawa golongan ini adalah
terpengaruh oleh persekitaran atau pendidikan barat dan tidak dapat lari dari
mempunyai perasaan bangga terhadap peradaban mereka. Menurut Prof. Zainal
Abidin Wahid, oleh kerana mereka adalah orang barat, mereka telah dididik dan
dibesarkan oleh tradisi, budaya, nilai dan norma-norma barat dan pekara
tersebut telah sebati dengan jiwa dan kehidupan mereka. Warisan kebudayaan
inilah yang telah menghalang mereka daripada menaruh penghargaan terhadap
sejarah Malaysia.
Walaupun banyak penulis tempatan yang menulis mengenai
sejarah negara mereka sendiri, namun kebanyakkan mereka turut dipengaruhi oleh
pengaruh barat kerana teknik, tema dan metodologi penulisan sejarah yang di
gunakan oleh penulis tempatan adalah diperolehi dari ilmu dan para ilmuan barat.
Selain itu, kita harus mengakui bahawa penulisan
sejarah tempatan secara keseluruhan sebenarnya masih belum pernah wujud dalam
erti kata yang sebenarnya. Apa yang dimaksudkan di
sini ialah penulisan sejarah tempatan adalah bersifat topikal iaitu hanya
menyentuh sesuatu tempoh atau sesuatu kawasan tertentu sahaja. Perkara ini di
pengaruhi juga oleh faktor kesediaan sumber rujukan. Di mana, data-data dan
rekod mengenai aktiviti barat boleh diistilahkan sebagai berlambak dan mudah di
perolehi untuk dijadikan sebagai bahan rujukan berbanding sumber tempatan yang
terhad dan dianggap lekeh dari segi nilai sejarahnya.
Di antara satu contoh
penulisan Sejarah Malaysia yang bersifat sentrik barat ini ialah British Malaya
yang ditulis oleh Sir Frank Swettenham. Berbanding dengan sejarah tradisional yang
mementingkan keharmonian dan pelajaran kepada masyarakat, penulisan sejarah moden
muncul akibat perkembangan rasional dan objektif menurut pemikiran seseorang
sejarawan. Sikap kritis yang wujud ini telah menyebabkan timbulnya keinginan
untuk menulis atau mencatatkan sesuatu
perkara atau peristiwa berdasarkan kepada apa yang sebenarnya berlaku dengan
menggunakan sumber sejarah yang sahih untuk menjamin ketepatan tulisan yang akan
ditulis.
Penulisan pada peringkat pra-perang dunia kedua
muncul akibat kedatangan barat untuk meluaskan kawasan tanah jajahan adalah
bertujuan untuk melicinkan serta memudahkan segala urusan pentadbiran barat
serta untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin kedudukan mereka sebagai
penjajah di Tanah Melayu. Penulisan pada peringkat
pasca perang dunia kedua pula telah membentuk satu perubahan besar dalam
penulisan sejarah tempatan. Perkembangan politik dan nasionalisme pada ketika itu telah
menyebabkan sejarawan di Asia Tenggara meluaskan lapangan pemikiran mereka
kepada teknik-teknik penulisan barat dan maju dalam penulisan sejarah berbentuk
moden.
Jika dilihat, konsep penulisan sejarah yang
berunsurkan sentrik barat banyak memaparkan mengenai sumbangan positif pihak
barat kepada masyarakat di negara yang pernah dijajah. Penulisan yang menggunakan falsafah dan prinsip-prinsip barat
ini sering sahaja merendahkan ketepatan sejarah tradisional. Barat sentrik lebih
menumpukan terhadap penulisan mengenai politik dan ekonomi sesebuah negeri yang
mengagung-agungkan barat sebagai penjajah.
Walaupun terdapat juga sejarawan barat yang menyeru
agar bahan-bahan tempatan digunakan dalam penulisan, tapi ia menjadi perbahasan
dikalangan sejarawan yang ingin menulis mengenai sejarah tempatan. Salah
seorang penulis sejarah yang menggunakan pendekatan sentrik barat ialah Sir
Frank Swethenham melalui karyanya yang berjudul British Malaya (1906).
Judul buku tersebut sudah memberi gambaran tentang isi kandungan, idea utama
atau temanya yang sudah pasti tidak lari dari menghuraikan peranan dan kejayaan
pihak imperialis British di Tanah Melayu. Mereka sebenarnya cuba mendakyahkan
kepada rakyat tentang kekuatan dan kehebatan sistem penjajahan.
Penulisan sentrik barat juga berdasarkan kepada
sumber mengenai aktiviti-aktiviti pihak barat yang mudah diperolehi sebagai
rujukan. la juga bersifat topikal iaitu menyentuh tempat atau kawasan-kawasan
tertentu yang berkepentingan kepada kerajaan kolonial. Ketika penjajahan
British di Tanah Melayu, kebanyakkan hasil tulisan adalah berbentuk laporan
rasmi atau penulisan yang mempunyai tujuan rasmi. Teks sejarah yang terhasil
biasanya terlalu bias kepada pihak kerajaan iaitu pihak British. Sebagai
buktinya segala peristiwa-peristiwa perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh
tempatan pada zaman itu di gelar sebagai penderhaka atau pemberontak. Misalnya
pemberontakan Tok Janggut di Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan