Ahad, 24 Mei 2015

KONSEP ARKEOLOGI

Apakah yang dimaksudkan dengan arkeologi? Sebenarnya arkeologi berasal daripada perkataan Greek iaitu “ arkhaiologia ” yang bermaksud barang-barang purba. Sejarah pengkajian arkeologi ini dikatakan bermula setelah penemuan artifak-artifak wujud di Afrika Timur yang dianggarkan berusia kira-kira 2.5 juta tahun dahulu. Mengikut  Kamus Dewan Edisi ke-4, arkeologi membawa maksud kajian saintifik mengenai sesuatu bentuk kebudayaan atau cara hidup masyarakat prasejarah dan penjelasan tentang kesan-kesan peninggalannya. Amalan hidup masyarakat seperti kegiatan pemburuan, petempatan, teknologi, sistem kepercayaan dan hubungan luar sesama mereka.

Berdasarkan Kamus Arkeologi pula, perkataan arkeologi membawa maksud sebagai aktiviti penyelidikan tentang manusia berdasarkan bahan-bahan peninggalan mereka seperti fosil tulang manusia, tembikar-tembikar purba, alatan-alatan yang diperbuat daripada batu seperti kapak tangan, beliung batu, dan alatan perhiasan, seperti manik- manik yang dibuat daripada kerang-kerangan.

Arkeologi sebenarnya membangkitkan kesedaran tentang gambaran yang mengasyikkan, negara-negara luar, jumpaan-jumpaan yang menarik, misteri masa silam, kemahiran purba, kerja-kerja penyelidikan yang teliti dan publisiti. Banyak lagi gambaran yang akan timbul di fikiran apabila menyebut tentang arkeologi. Secara umumnya, arkeologi adalah satu disiplin membina semula masyarakat silam terutama yang tidak mempunyai rekod-rekod bertulis melalui kajian-kajian rekod arkeologi seperti artifak, ekofak, feature dan data-data konteks yang ditemui di tapak-tapak tertentu. Melalui penemuan-penemuan tersebut, ahli-ahli arkeologi boleh menghuraikan keadaan sesuatu kelompok masyarakat silam dari pelbagai aspek umpamanya aspek pola ekonomi, petempatan, kebudayaan, kronologi menurut ruang masa tertentu iaitu zaman Paleolitik, Neolitik, Zaman Gangsa,Zaman Besi dan lain-lain.

Manakala Gordon Willy mendefinisikan arkeologi sebagai antropologi. Menurut Grahame Clark, disiplin arkeologi adalah sebagai kajian yang bersistematik ke atas bahan-bahan purba bagi membentuk semula sejarah. J.D Leaf pula menyatakan bahawa arkeologi sebagai disiplin sains dan cabang kepada sejarah. Brian M. Fagan menyifatkan arkeologi sebagai satu kajian yang sistematik mengenai tabiat, teknologi dan kebudayaan manusia pada zaman lampau. Menurut Gordon Childe iaitu seorang ahli sejarah arkeologi ada menyatakan bahawa; "Arkeologi sebenarnya mengkaji semua perubahan dalam dunia material yang disebabkan oleh kegiatan manusia serta rekod arkeologi yang terdiri daripada tinggalan hasil tingkah laku manusia silam dan apa sahaja yang mereka lakukan".

 Arkeologi terbahagi kepada beberapa bidang kajian yang tertentu antaranya bidang epigrafi yang mengkaji tinggalan prasasti, inskripsi dan batu bersurat. Filologi mengkaji naskhah-naskhah dan tulisan kuno. Bidang struktur pula mengkaji tinggalan bangunan, bidang petempatan mengkaji pola tempat tinggal sesuatu masyarakat, bidang ikonografi mengkaji seni pahatan, bidang antropologi mengkaji hal- hal kebudayaan, bidang sosiologi mengkaji sejarah masyarakat dan bidang numismatik mengkaji tinggalan matawang.

Bidang arkeologi yang meliputi pelbagai aspek kajian menyebabkan bidang ini banyak menjalankan kegiatan eskavasi mencari dan mengumpul benda-benda dari dalam tanah melalui proses penggalian dengan tujuan untuk mengungkap kehidupan manusia pada zaman silam. Bidang arkeologi juga merupakan satu bidang ilmu yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada bidang-bidang lain. Antara disiplin lain yang membantu penyelidikan arkeologi adalah antropologi, geologi, paleontology, statistic, geomorfologi dan seni halus.

Ahli arkeologi masa kini mengkaji cara masyarakat awal berkembang dan tamadun terbentuk dalam proses yang kompleks, dinamik serta berubah-ubah serta dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk persekitaran, hubungan dengan yang lain, pertambahan populasi dan keperluan yang berubah. Bukti-bukti arkeologi adalah testimoni sejarah yang lebih dipercayai daripada bukti-bukti lisan dan tulisan yang tertakluk kepada ruang dan waktu tertentu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan